Tuesday, March 4, 2014

Sombong atau Pemalu

Salam sejahtera, salam perpaduan, salam perkenalan.

Sebelum saya mulakan coretan ini, adalah lebih baik jika saya memperkenalkan diri saya terlebih dahulu. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Nama saya ialah Wan Muhammad Farhan atau lebih mesra dikenali sebagai Paan dan merupakan pelajar tahun pertama dari Fakulti Kejuruteraan. Dalam coretan ini, saya akan menceritakan sedikt sebanyak tentang diri saya. Mungkin ada yang telah mengenali diri ini dan mungkin juga masih ramai yang belum. Bagi yang baru sahaja mengenali, mungkin ramai yang menganggap saya seorang yang sombong. Sejujurnya, saya bukanlah seperti yang anda sangkakan. Saya bukannya sombong, tetapi saya seorang yang pemalu tetapi bukanlah pemalu yang tidak bercakap atau bergaul dengan orang lain. Saya sebenarnya pemalu pada peringkat permulaan sahaja.

Saya mempunyai masalah dalam mengenali rakan baru, terutamanya perempuan. Ini mungkin disebabkan saya kurang bergaul dengan perempuan sejak dari sekolah. Untuk pengetahuan semua sekolah saya merupakan sekolah berasrama penuh dan pelajarnaya terdiri dari pelajar lelaki berbangsa Melayu sahaja. Masalah utama dalam perbualan dengan perempuan bagi saya ialah cara membahasakan diri. Saya tidak tahu penggunanan cara membahasakan diri yang sesuai sama ada 'saya-awak', 'I-You' atau 'nama-nama' kerana setiap individu  mempunyai karakter yang  berbeza. Saya memakan masa yang lama untuk mengenali karakter dan memahami diri seseorang itu. Jadi maafkanlah diri saya jika saya kurang bertegur dengan anda.

Baiklah, itu sahaja serba sedikit tentang diri saya yang ingin saya kongsikan bersama. Sekarang saya ingin menceritakan sebuah kisah yang berlaku pada petang tadi. Semasa dalam perjalan ke konti UMalaya Radio setelah selesai melengkapkan dokumen biasiswa JPA di Bahagian HEP, saya terlihat seorang pelajar perempuan melambai-lambai anak ke arah saya. Saya tidak mengenali perempuan itu dan menyangka bahawa dia sedang melambai kepada orang di hadapan, belakang, kanan atau kiri saya. Setibanya saya di hadapan konti, sebelum masuk, saya sempat memandangsekali lagi ke arah perempuan tadi dan perempuan itu kembali melambaikan tangan ke arah saya. Saya berasa janggal kerana perempuan itu seolah-olah mengenali saya tetapi saya tidak mengenali dia. Dengan perasaan yang segan dan malu-malu kucing, saya terus masuk ke dalam konti tanpa membalas lambaian dia. Saya berasa bersalah dan mungkin dia telah menganggap saya sombong. Jika anda yang sedang membaca coretan ini ialah orang yang maksudkan tadi, saya betul-betul minta maaf. Bukannya niat saya untuk menyombongkan diri, tetapi saya malu. Hiks