Wednesday, March 12, 2014

Forrest Gump: Sekotak Coklat yang Mengujakan

Entri saya kali ni adalah review tentang sebuah filem yang saya tonton minggu lepas. Nama filem ini ialah Forrest Gump. Adaptasi daripada novel, filem ini diterbitkan pada 1994 merupakan kisah hidup Forrest Gump dari kecil sehingga mempunyai anak. Filem ini bermula di sebuah perhentian apabila Forrest Gump yang sudah dewasa menunggu bas untuk ke rumah kawan sepermainannya, Jenny. Selama menunggu bas itu, dia menceritakan kepada setiap orang yang duduk menunggu bersamanya kisah hidupnya. Daripada sini, teknik imbas kembali digunakan untuk menceritakan kisah hidup Forrest sedari kecil.

Image 

Memiliki tahap IQ yang lemah iaitu pada bacaan 75 sahaja, Forrest mempunyai sifat yang berbeza dengan kanak-kanak lain – kelihatan lembab dan kurang cerdik – hingga dia disisihkan oleh kanak-kanak lain. Ibunya yang ditinggalkan oleh suami sungguh menyayanginya dan sanggup mempertahankannya untuk terus belajar di sekolah awam. Di sebalik kelemahan IQ, Forrest memiliki keupayaan untuk berlari dengan sangat pantas.

Forrest berkenalan dengan Jenny yang menawarkannya tempat duduk di dalam bas sekolah. Mereka berkawan rapat hingga remaja. Jenny yang dibesarkan oleh ayahnya yang pemarah akhirnya menjadi seorang remaja yang sentiasa mahukan kebebasan dan mencari keseronokan. Cinta Forrest ditolak olehnya kerana beranggapan bahawa Forrest tidak sesuai untuknya dan Forrest tidak mengetahui makna cinta (mungkin disebabkan keupayaan akalnya yang lemah).

Forrest menyertai pasukan tentera Amerika setelah bergraduasi dari kolej. Dia berkawan rapat dengan Bubba, lelaki kulit hitam yang begitu “menyukai” udang kerana keluarganya menggemari makanan laut itu, hingga dia menanam impian untuk mengusahakan perniagaan udang suatu hari nanti. Forrest dan pasukannya ditugaskan dalam misi keamanan di Vietnam. Di situ dia menempuh kehidupan yang mencabar. Dalam satu pertempuran Forrest telah menyelamatkan rakan-rakan pasukannya termasuk Lieutenant Dan dari satu letupan dahsyat. Bubba pula gagal untuk survive kerana kecedaraan yang teruk. Hasil daripada keberanian dan kelajuannya berlari menyelamatkan kawan-kawannya itu, dia telah menerima anugerah Medal Kehormat Kongres daripada Presiden Amerika.

Ketika menerima rawatan di hospital Forrest telah menemui atau discover satu keupayaan baharunya – bermain ping pong. Dia telah menjadi terkenal dengan bermain ping pong. Setelah kembali ke negaranya asalnya, dia telah memulakan pekerjaan menangkap udang bagi memenuhi janji dan impiannya bersama Bubba. Bersama Lieutenant Dan yang kudung (akibat daripada letupan di Vietnam), Forrest telah mendapat keuntungan yang lumayan daripada perniagaannya itu. Dia telah memberikan sebahagian besar daripada keuntungan itu kepada keluarga Bubba.

Forrest tidak meneruskan usaha menangkap udang. Perniagaannya itu diuruskan oleh Lieutenant Dan. Suatu pagi setelah kematian ibunya, dia telah bertekad untuk berlari merentas daerah, bandar, dan negeri. Sepanjang lebih tiga tahun dia berlari, banyak orang telah mengikutinya hingga menjadikannya terkenal. Setelah habis berlari, dia kembali ke rumahnya.

Imbas kembali kisah hidup Forrest berhenti. Dari perhentian bas itu, dia telah menuju ke rumah Jenny. Di situ dia telah berjumpa dengan anaknya yang juga dinamakan Forrest Gump. Dia telah berkahwin dengan Jenny namun kebahagiaannya tidak lama kerana Jenny meninggal dunia. Forrest Gump terus membesarkan anaknya yang pintar itu sendiri.

Plot filem ini banyak menggunakan imbas kembali. Bukan sahaja menjadikannya menarik, malah menimbulkan mood atau kesan nostalgia kepada penonton. Perjalanan plot imbas kembali itu pula tersusun dan berkronologi – diceritakan dari kehidupannya dari kecil yang ditinggal bapa, perkenalannya dengan Jenny hingga mereka membesar bersama, pengalamannya menjadi tentera dan nelayan hinggalah kembaranya berlari merentas Amerika. Meskipun Forrest kehilangan orang-orang rapat dan disayangi dalam hidupnya (ibu, rakannya Bubba, dan isterinya Jenny), filem ini disudahkan dengan kebahagiaan. Dia menjaga anaknya yang comel dengan kasih sayang sebagaimana ibunya menjaga dahulu.

Saya kira pelakon-pelakon filem telah membawa watak masing-masing dengan baik. Pujian saya berikan kepada Tom Hanks kerana memainkan Forrest Gump dengan tidak tipikal atau klise. Pembawaannya tidak seperti pelakon lain yang memainkan watak orang yang ber-IQ rendah yang harus kelihatan begitu bodoh dengan permainan lirikan mata yang mengganggu. Sementara itu, Bubba lakonan Mykelti Williamson sangat mencuit hati dengan perwatakannya yang selamba, bersahaja mengundang tawa. Jenny lakonan Robin Wright pula bagi saya biasa-biasa sahaja namun sifatnya sebagai seorang remaja yang memberontak dan berkali-kali meninggalkan Forrest yang dianggapnya dungu (dan hanya menyedari kesilapannya setelah tahu akan penyakit yang dihadapinya) sedikit sebanyak telah membuat saya “membencinya”. Ibu Forrest lakonan Sally Field pula telah berjaya mencerminkan dan membekaskan nilai kasih sayang, rasa nostalgik, lalu menerbitkan perasaan homesick di hati saya!


Forrest-Gump-Tom-Hanks-Bench-Suit-Suitcase- - Copy 

No comments:

Post a Comment