Sunday, March 23, 2014

Hari Sukan Tradisional Kurshiah 2014



Hari Sukan Tradisional Kurshiah atau nama singkatannya HSTK 2014 adalah satu-satunya program yang dianjurkan untuk menyalakan kembali pelita budaya dan warisan negara, melalui permainan tradisional. Program yang berlangsung pada 22 Mac 2014 yang lepas ini sememangnya menjadi katalis untuk menyemai semangat cinta pada budaya dan negara kita.

Pengarah Program, Bainun Basri, bersama ahli jawatankuasa yang lain dari Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah telah berusaha untuk mengadakan beberapa jenis permainan kepada para pelajar. Antara yang menarik ialah Pinata, yang menjadi permainan tradisi bagi masyarakat di Mexico, Sepanyol, dan China, dengan memecahkan balang di atas kepalanya dalam keadaan matanya tertutup.

Selain itu juga, Hari Sukan Tradisional Kurshiah ini turut menjemput pelajar antarabangsa yang menetap di Kolej Kediaman Kesepuluh untuk sama-sama menyertai dan mencuba sendiri pengalaman bermain permainan tradisi ini.




(Gambar) Salah seorang pelajar antarabangsa dari Jepun turut mencuba sendiri pengalaman bermain Batu Seremban.









(Gambar) Inilah permainan Pinata yang dimaksudkan sebentar tadi. Pinata adalah permainan tradisi masyarakat di Mexico, Sepanyol, dan China, dengan menutup mata si pemain, dan pemain tersebut perlu memecahkan balang yang tergantung di atasnya.







(Gambar) Ceper juga amat terkenal di kalangan remaja dan kanak-kanak lelaki. Ceper memerlukan kemahiran si pemain untuk menjentik ceper supaya kesemua ceper dapat disentuh.





.

(Gambar) Jika ceper khususnya menjadi kegilaan kanak-kanak lelaki, Batu Seremban juga tidak dilupakan untuk remaja dan kanak-kanak perempuan. Batu Seremban kebiasannya menggunakan batu, biji saga, atau biji kacang hijau.







(Gambar) Masihkah anda ingat permainan ini? Baling selipar merupakan permainan kanak-kanak yang sangat terkenal, terutama kanak-kanak di kampung. Pemain perlu tangkas dan lincah untuk menghancurkan binaan piramid-selipar dan membinanya semula tanpa disentuh oleh pihak lawan.



(Gambar) Congkak merupakan mainan yang amat digemari oleh kanak-kanak perempuan. Biji guli yang terdapat di dalam lubang perlu dipindahkan sehinggalah kosong di tempat tersebut. Pemain yang berjaya mengumpul guli paling banyak akan dikira sebagai pemenang.




(Gambar) Ting-ting juga amat popular di kalangan kanak-kanak. Namun, pertandingan kali ini, peserta perlu membaling "Dadu Gergasi" untuk maju ke hadapan. Terdapat beberapa kotak yang memerlukan pemain membuat sesuatu perkara.



(Gambar) Mungkin ada di antara kita yang tidak tahu apakah permainan tradisional yang hanya memerlukan kayu sahaja? Jawapannya ialah Konda-Kondi. Permainan ini hanya memerlukan batang kayu pendek, dan menggali lubang sedikit untuk melantunkan kayu tersebut. Pemain yang melantun kayu paling jauh akan dikira sebagai pemenang.



  

Bagi kami, menerusi program seperti inilah dapat mengeratkan ukhwah dan perhubungan akrab sesama kita, sambil menghidupkan semula tradisi peninggalan zaman nenek moyang kita dalam dunia permainan dan sukan ini. Arus permodenan dan budaya yang tidak sihat pada zaman kini telah merencatkan norma kehidupan dan sosiobudaya kita, rakyat Malaysia. Jikalau bukan kita yang menyalakan kembali obor warisan dan seni ini, siapalah lagi, selaku anak bangsa dan pertiwi..

No comments:

Post a Comment