Saturday, March 15, 2014

Program Aspirasi Kebajikan Siswa Kurshiah (AKSI) 2014


Pada 7-9 Mac yang lepas, Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah telah menganjurkan satu program berbentuk khidmat masyarakat dan anak angkat di Kampung Ulu Cheka Jerantut Pahang. Program tiga hari ini sememangnya memahat 1001 kenangan kandis antara pelajar dan penduduk kampung. Pengarah Program, Aida Lydia Anak Angkau, dibawah seliaan Penasihat Program, En. Ahmad Sabri Bin Abdul Samad, telah bersetuju untuk mengadakan program ini di Ulu Cheka Jerantut, setelah melawat beberapa kampung lain di Kajang dan Kelantan. 



Sesi pembahagian anak angkat merupakan saat yang paling mendebarkan, siapakah gerangan ibu dan ayah mereka. Sebanyak 13 keluarga telah menerima anak angkat mereka pelajar-pelajar Universiti Malaya, dari pelbagai bidang dan jurusan.





Antara program yang dijalankan ialah pemeriksaan gigi untuk golongan kanak-kanak dan dewasa. Pegawai dari Klinik Pergigian Bandar Jerantut juga telah dijemput untuk menjalankan pemeriksaan dan ceramah kepada penduduk kampung.





Acara sukaneka antara pelajar dan penduduk kampung juga turut diadakan, antaranya "Hantar Getah Menggunakan Straw", "Bawa bola pingpong dalam sudu", "Isi air dalam botol" dan yang paling riuh sekali ialah Tarik Tali. Apa yang menariknya, bukan kanak-kanak sahaja yang menyertai acara sukaneka ini, tetapi juga semua golongan umur.




Bagi mencungkil bakat seni lukis dan warna kanak-kanak dan membina daya kreativiti mereka, kami turut mengadakan Pertandingan Mewarna untuk pelajar sekolah rendah dan pra-sekolah. Bukan pelajar sekolah sahaja yang menyertainya, seorang kanak-kanak berusia lebih kurang empat tahun juga turut menyertainya. 


Berat mata memandang, Berat lagi bahu memikul. Bagi meringankan serba sedikit kejerihan penduduk kampung yang kurang berkemampuan, kami juga ada mengadakan program Bersamamu untuk memberi bantuan barangan dapur seperti beras dan keperluan asasi harian. 




Tak lapuk dek hujan, Tak lekang dek panas. Itulah yang boleh diibaratkan bagi seni dan warisan kebudayaan di negara kita. Malam Kebudayaan menonjolkan keindahan seni budaya warisan di Kampung Ulu Cheka, Antara yang dipersembahkan ialah Seni Silat, Nyanyian Lagu Kampung dari Kumpulan Wanita Marhaban, Kugiran , dan Berbalas Pantun. 


Kampung Ulu Cheka ini sememangnya terpahat dengan kisah sejarah silam yang amat menarik. Atas kesedaran bagi mengenang semula sejarah kampung Ulu Cheka, penduduk kampung telah berusaha untuk menubuhkan sebuah galeri muzium mini untuk menempatkan barang-barang lama dan untuk tujuan penghayatan sejarah. Ulu Cheka juga amat terkenal dengan Juara Buah Durian Pahang, Keindahan Gunung Benom, Kejernihan Air Terjun dan bermacam-macam lagi. Tidak dinafikan lagi, meninggalkan Kampung Ulu Cheka dan berpisah bersama keluarga angkat, merupakan saat yang paling syahdu dan meninggalkan rasa cinta yang amat mendalam. Sesungguhnya, keindahan dan keharmonian Ulu Cheka menyentuh naluri dan sisip hati kecil yang cintakan alam hijau buana ini. We love Ulu Cheka ! 



                                                                                                            


No comments:

Post a Comment