Sunday, February 23, 2014

Tapi aku juga manusia

Tapi aku juga manusia...
Bisik sang hati.
Lalu di sini inginku mengingatkanmu,

Saat kau melakukan kebaikan dan kau mengharap balasan,
Ketuklah tingkap hatimu dan tanya ke mana hilangnya ikhlas yang selama ini cuba kau tanamkan.

Saat ada yang menggores hatimu, kau turut memprotes menunjuk perasaan.
Ingatlah, bagaimana kau tidak mahu terluka, begitulah kau jaga hati-hati mereka.

Saat ada yang berpaling darimu kerana dosa yang kau lakukan dan kau bersedih hati,
Ingatlah, itu tarbiyyah dari Tuhan.
Dia mengingatkanmu bahawa di sana kelak akan ada kesedihan yang tidak mampu kau hadapi,
Ketika Tuhan tidak memandangmu kerana kau kembali hanya membawa dosa.

Saat ada yang ingin menumpang nama atas apa yang kau lakukan,
Biarkan.
Ingatlah, apa yang kau lakukan bukanlah untuk mengejar nama, tapi mengejar redha.

Saat ada yang menyatakan dia lebih baik darimu,
Biarkan.
Usahlah kau bersuara memulakan perdebatan.
Kerana sememangnya kau tidak tahu siapa yang lebih baik di sisi Tuhanmu.

Saat kau diberi kejayaan, usahlah bangga menyatakan itu semua hasil usahamu.
Kerana itu takdir buatmu.
Dan saat kau ditimpa kegagalan, usahlah kau berduka dan bersedih hati.
Kerana itu juga sudah suratan buatmu.

Saat kau merasa susah untuk membuang jahiliyah,
Ingatlah,
Allah melihat.
Allah menunggu kau berjaya.
Kerana itulah kau masih bernafas, kerana kau masih diberi peluang.

Saat kau sunyi seakan tak punya siapa,
Ingatlah,
Kau tak pernah sendiri.
Allah bersamamu.
Cuma kadang kau terlupa, kau terleka.

Tapi aku juga manusia...

Ingatlah,
Hidup bukan kerana nama.
Hidup bukan untuk membuktikan siapa lebih gah di mata manusia.
Berusaha bukan mengejar kejayaan dunia semata.

Usahlah kau mengadu letih pada manusia.
Usahlah kau mengeluh sengsara pada manusia.
Usahlah kau bercerita duka pada manusia.
Usah kau canang cerita kehebatanmu.
Usah kau sebarkan kejayaanmu.

Biarlah cuma Allah yang tahu.
Biarlah cuma Allah melihat air matamu.
Biarlah cuma Allah yang menghitung usahamu.
Biarlah cuma Allah yang tahu.

Tapi aku juga manusia...

Ingatlah!
Kau hidup untukNya.
Bukan untuk dia.
Bukan untuk mereka.
Bukan untuk sesiapa.

Maka biarlah hanya padaNya kau buktikan segala.
Biarlah mereka mencela.
Biarlah ada yang mengata.
Biarlah sekalipun ada yang menumpang nama.
Biarlah walau hati terasa.
Biarlah walau jiwa terluka.
Biarlah mereka dengan cara mereka.

Kerana mereka juga manusia.
Dan kau juga manusia.
Yang kau kejar adalah redha dan syurga.
Bukan nama.
Bukan harta.
Bukan sekadar apa yang ada di dunia.





No comments:

Post a Comment