Monday, February 17, 2014

Kebejatan moral seorang ibu.

    Tajuk di atas jelas memaparkan sikap negatif masyarakat kita. Bukan nak mengutuk malah ini adalah pengajaran untuk kita semua. Kejadian ini berlaku beberapa hari lepas di kampung saya di Alor Gajah. Menaiki bas ke kampung saya yang memakan masa sekitar 10 minit, mata saya terarah kepada seorang kanak-kanak yang terpisah daripada seseorang di dalam bas tersebut yang penuh dengan penumpang. Tangisannya menarik perhatian hampir keseluruhan isi bas (kecuali beberapa orang yang pura-pura tidak mendengar). Kanak-kanak itu dihampiri oleh seorang lelaki yang memiliki kecacatan di wajahnya.

    Menggunakan suara yang lembut, lelaki tersebut memegang tangan budak perempuan itu lalu mengangkatnya dan memulakan langkahnya dengan 'selit menyelit' antara penumpang lain sehingga ke tempat duduk ibu kanak-kanak malang terbabit (kebetulan wanita terbabit duduk di sebelah posisi saya berdiri). Anehnya, wanita tersebut bukan sahaja tidak panik, (sekurang-kurangnya memanggil anaknya) malah tidak mengendahkan kehadiran anaknya. Itu belum lagi sampai ke 'kemuncak' insiden itu.

    Wanita itu turut menarik tangan anaknya lalu berkata kepadanya dengan kekuatan suara yang agak tinggi; " Jangan dekat dengan orang muka buruk." Alangkah terkejutnya saya mendengar ayat yang 'indah' itu. Kebetulan selepas ayat tersebut keluar, dia turun dari bas kerana telah tiba ke destinasinya. Para penumpang bas hanya memandangnya. Apa lagi yang boleh dibuat? Sememangnya kejadian tersebut meninggalkan perasaan terkejut dan kecewa. Jika tidak mahu mengucapkan terima kasih pun tidak perlulah sehingga menghina, betul tak?

    Apa pun, kejadian begini boleh berlaku di serata tempat di dunia termasuk...Malaysia? Mungkin mengejutkan, mungkin tidak. Semoga golongan begini insaf dan sedar akan kesilapan mereka. Ibu sedemikian berkemungkinan besar akan membentuk anaknya dengan sikap yang sama. Harap-harap perkara seperti itu tidak terjadi kepada sesiapa lagi...

No comments:

Post a Comment