Friday, February 28, 2014

Subjek Hubungan Etnik Tidak Relevan?


Sudah seminggu lebih semester 2 sesi 2013/2014 bermula, seperti biasa pada minggu pertama pengkuliahan, kita akan mengikuti kelas "introduction" dan diberitahu mengenai proforma kursus dan sebagainya. Begitu juga dengan saya pada semester ini, salah satu subjek yang saya daftarkan ialah subjek hubungan etnik,  saya percaya semua pelajar Universiti Malaya sudah atau akan mengambil subjek tersebut, kerana hubungan etnik merupakan subjek wajib universiti.

Relevankah subjek hubungan etnik?, persoalan ini tiba-tiba muncul di minda saya. Bukan kerana saya yang berfikiran jahat kerana menganggap subjek hubungan etnik tidak relevan, tetapi persoalan ini muncul di benak fikiran saya apabila pensyarah subjek tersebut sendiri yang menanyakan satu soalan yang berbunyi seperti ini.... "kamu semua rasa adakah perlu mempelajari subjek hubungan etnik? Adakah ianya penting?. Tiada pelajar yang berani bersuara menjawab soalan tersebut, sebaliknya hanya memberi isyarat melalui kepala sahaja. Terdapat separuh pelajar menggelengkan kepala dan separuh lagi mengangguk kepala..
Pensyarah itu tadi kemudiannya lantas bertanya kepada salah seorang pelajar yang menggeleng kepala (sebagai tanda subjek hubungan etnik tidak penting), kenapa dia merasakan subjek hubungan etnik tidak relevan, pelajar yang berbangsa cina itu menjawab dalam bahasa inggeris bahawa setiap pelajar sudah biasa bergaul dengan semua etnik, sama ada cina, melayu, india atau etnik lain dengan begitu harmoni dan menurutnya tidak perlu lagi untuk diajar cara-cara untuk berhubung antara etnik. Jika difikirkan kata-kata pelajar itu, ya, ada betulnya juga, kita sudah biasa bergaul antara etnik secara realiti atau praktikal, jadi kenapa masih perlu diajar secara teori lagi?. Bukan itu sahaja, terdapat "bisik-bisik belakang" yang mengatakan subjek hubungan etnik membosankan, tidak menarik, dan pergi ke kelas semata-mata untu menandatangan kehadiran sahaja.

Dari pandangan peribadi saya, subjek hubungan etnik yang telah diperkenalkan sejak tahun 2005 ini, merupakan satu subjek yang penting untuk sebuah negara yang berbilang kaum dan etnik seperti Malaysia. Subjek ini mendidik kita untuk lebih memahami dengan mendalam setiap bangsa, dan etnik yang ada di dalam negara kita. Kita diajar sikap hormat-menghormati, tolerasi, dan sebagainya. Subjek ini jika dihayati dapat menjadi "tali" untuk "mengikat" semangat perpaduan antara rakyat Malaysia. Selain itu, subjek ini juga tidak membosankan kerana mempunyai kerja lapangan serta terdapat aktiviti yang menarik seperti lawatan ke rumah ibadat setiap agama yang ada di Malaysia dan sebagainya. Study ethnic relations is fun.

No comments:

Post a Comment