Wednesday, February 19, 2014

Mungkin Bukan Di Sini Tempatnya #KARVITER14

MALAM ini Karnival Teater Universiti Malaya (KARVITER) 2014 diteruskan lagi dengan persembahan oleh produksi dari Kolej Kediaman Bestari (KK4) dengan persembahan berjudul Kerja, karya Nawfal dan Ashraf Zainul.



Hari ini saya menonton ditemani dengan teman-teman dari UMalaya Radio yang datang dari pelbagai fakulti: El dan Aqmal dari Fakulti Pendidikan, Paang dari Fakulti Kejuruteraan dan Sofwah dari Akademi Pengajian Islam. Kami sebenarnya dari Konti UMalaya Radio dan sememangnya merancang untuk pergi menonton malam ini.

Pertama sekali ketika mengetahui pengarahnya ialah Nawfal, saya tersenyum lebar sambil berkata "Wahhh!!! Bijak betul KK4 ni pilih pengarah ya tahun ni..." Ini kerana Nawfal yang juga merupakan kenalan saya ketika menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dahulu tidak pernah mengecewakan saya dalam kerja-kerja pengarahannya. Saya mengenali Nawfal ketika terlibat dalam persembahan Teater Muzikal Kanak-kanak "Gamat" arahan Zaifri Husin. Ketika itu saya ditugaskan untuk menyiapkan make-up untuk Nawfal yang memegang peranan sebagai Kurita di dalam persembahan itu. Nawfal seorang yang sangat tidak cerewet ketika itu, dan sepanjang pengalaman saya mengenali dan bekerja dengan beliau memang begitulah sikap Nawfal.

Lama tidak bersua muka dengan Nawfal, harap Nawfal turut membaca review ini. Huhu... Hello Mr. Nawfal!!!

Baiklah, saya teruskan review saya terhadap produksi ini. Ketika pertama kali melihat poster ini di Facebook, saya mula menggigit bibir. "Kenapa poster dia warna hitam putih???". Saya memang secara peribadinya tidak sukakan penggunaan warna hitam dan putih di dalam persembahan teater. Kenapa? Jom terus baca sampai habis...

Ketika melangkah masuk ke pintu Auditorium, penonton disambut dengan hiasan FOH yang ringkas tetapi bermakna. Ada terhidu bau kopi di ruang legar, ini sangat kena dengan tagline mereka "Sebuah kisah tentang susu coklat, kopi dan sosej". Terdapat helaian kertas bersepah yang terkena percikan darah di ruang lobi sehingga ke dalam panggung. "Huuurrrmmm... Mesti kejap lagi ada darah-darah... Si Ash (Ashraf Zainul) ni memang suka sangat dengan darah-darah bagai ni..." itu jangkaan awal saya. Melangkah sahaja masuk ke dalam panggung, saya menarik nafas panjang... Saya paling tidak suka set pentas yang warna asasnya putih, apatah lagi jika semuanya putih seperti malam ini. Bukanlah saya tak suka warna putih. Putih itu suci! Namun pengalaman saya menonton banyak teater yang menggunakan warna putih sebagai warna asasnya selalunya  mengecewakan saya. Kenapa? Teruslah membaca ya...

Saya suka dengan permulaan persembahan ini. Afiq yang melakonkan watak Khai dalam persembahan Kerja adalah orang pertama yang saya nampak di atas pentas. Wooow! Afiq secara keseluruhannya berjaya membawa lakonan dengan baik. Saya tidak nampak lansung diri Afiq di dalam lakonannya pada malam ini. Dia begitu baik melakonkan watak yang diberikan. Namun saya tidak begitu gemar melihat cara Khai berjalan di atas pentas. Ya, tidak lansung nampak seperti Afiq tetapi masih tidak gemar cara Khai berjalan kerana dia nampak seperti tidak selesa dengan cara dia berjalan dan lansung pula tidak dinyatakan kenapa dia perlu berjalan begitu. Namun itu bukanlah soal yang terlalu besar walaupun mungkin sedikit menjejaskan persembahan.

Saya rasa senang hati apabila Khai membuat keputusan untuk membunuh dua orang pelakon perempuan yang beraksi bersamanya di babak pertama (lupa nama watak mereka). Saya menarik nafas lega selepas Khai membunuh mereka. Kerana saya tidak lagi sanggup mendengar lontaran dialog mereka yang bingit dan terlalu tersusun seperti menghafal nota peperiksaan setelah menonton persembahan yang juga hebat binggitnya semalam (klik: di sini). Nasib baiklah Khai bunuh mereka di babak pertama... Secara keseluruhannya pada aspek lakon, apa yang saya boleh katakan ianya cuma biasa-biasa. Tidak ada pelakon yang teruk dan tidak ada pelakon yang hebat.

Berbalik kepada rekaan setnya. Mengapa persembahan ini merunsingkan saya? Sepanjang pengalaman saya menonton beratus (atau mungkin lebih) teater, yang mana menggunakan warna putih sebagai warna asasnya biasanya akan mengecewakan saya. Apabila pereka set memilih warna putih sebagai warna asas setnya, maka risiko yang besar akan ditanggung oleh pereka cahayanya. Hanya penata cahaya yang benar-benar hebat sahaja yang dapat menghidupkan set berwarna putih di dalam sesebuh persembahan. Perbincangan yang sangat detail diperlukan antara pereka set dengan penata cahaya dalam  situasi ini bagi mengenalpasti apakah efek pencahayaan yang dapat dihasilkan bagi memberikan mood dalam persembahan. Keperluan lampu yang sangat terhad di Auditorium KPS menghalang pereka cahaya untuk bermain dengan pelbagai teknik. Sepatutnya produksi ini perlu sedar perkara tersebut sebelum masuk ke panggung lagi. Ya saya sedar pemilihan warna putih pada setnya juga bertujuan untuk membantu menampakkan lagi efek darah yang bercurah-curah di atas pentas sepanjang persembahan ini. Namun ini belum cukup untuk menjadikan ia sebagai alasan kerana di dalam teater, nilai teaterikal sangat dan boleh dikatakan teramat penting.

Sekali lagi saya tidak suka pada rekaan kostumnya yang menggunakan warna hitam dan putih. Cahaya putih boleh dicipta melalui pencampuran spektrum warna dasar, mungkin dari pemikiran itu yang membuatkan pengarah memilih warna tersebut? Entahlah... Apa pun kostumnya tidaklah begitu teruk sekali, cuma apabila pemilihan warna hitam dan putih dibuat, pereka kostum harus lebih rijik untuk meletakkan keseimbangan warna mengikut perwatakan masing-masing. Kerana setiap warna yang digunakan di atas pentas sudah tentu memberi makna dan kesan.

Malam ini mungkin agak berbeza dengan persembahan teater pada malam-malam yang akan datang. Penggunaan kesan khas iaitu darah digunakan secara maksimanya oleh Ashraf Zainul di dalam persembahan ini. Saya suka! Bukan kerana saya sukakan darah, namun kerana ianya ada kaitan dengan isi naskah ini. Namun sedikit mengecewakan saya pada malam ini apabila bancuhan darah tidak begitu menjadi. Darah yang dibancuh oleh Ashraf Zainul sebelum ini tidak pernah seperti ini. Mungkin bukan dia yang bancuh kali ini atau pun mungkin tak cukup budget lah kot... Upppsss... Lagi satu efek yang cuba dibuat ketika watak lelaki (tak ingat nama) dilanggar kereta itu merupakan satu idea yang sanagt menarik, namun perlaksanaannya gagal membuatkan saya sangat kecewa. Pertama lampu dinyalakan lebih awal sehingga penonton dapat melihat krew pentas mencurahkan darah menggunakan baldi. Kedua jika lampu menyala lewat sekalipun ia akan tetap gagal kerana penonton dapat dengar bunyi seperti jiran diatas rumah mencurahkan air baldi basuhan kain ke bawah rumah. Sepatutnya produksi berfikir dengan lebih rijik untuk menghilangkan bunyi tersebut dengan menggunakan audio bagi menutupnya ataupun menggunakan teknik saluran paip dan sebagainya.

Entahlah dari mana dua sahabat ini mendapat idea untuk menulis naskah ini. Bukan tidak suka, tetapi saya merasakan ianya tidak sesuai untuk dipentaskan sempena dengan Karnival Teater di Universiti Malaya apatah lagi. Mungkin ianya bagus jika dipentaskan ditempat lain. Nawfal yang dilantik sebagai pengarah sepatutnya mengkaji dan memahami dahulu tentang budaya KARVITER di UM. Saya yakin lebih 80% penonton yang hadir lansung tidak fahampun dengan "susu coklat, kopi dan sosej" yang berulang kali disebut di dalam persembahan ini. Nawfal dan keseluruhan produksi perlu mempunyai kesedaran tentang penerimaan dan fahaman penonton terhadap konsep keseluruhan produksi sebelum memutuskan pemilihan naskah, genre dan konsep artistiknya. Ya, mungkin juri faham dan sukannya. Jika begitu mereka sangat bernasib baik. Inilah adat pertandingan, penonton bukan soalanya, apa yang penting juri tertarik dengannya.

Penggunaakn konsep komedi yang diperkenalkan oleh Bertolt Brecht ini terlalu berat untuk pertandingan teater di peringkat ini. Namun saya tetap mengambil kira bahawa produksi ini amat berani mengangkat konsep yang begitu berat ke atas pentas KARVITER pada tahun 2014 ini yang merupakan satu pembaharuan (mungkin la, sebab saya pun baru tonton KARVITER kali ke-3 tahun ni).

Saya berhenti review saya terhadap produksi ini disini. Sekarang saya nak membebel tentang pengurusan panggung pulak... Hadooooiiii... "Rimas, lemas, sesak napas aku Tijahhhhhhh!!!!" itu lah rungutan saya sepanjang berlansung persembahan pada malam ini. Penonton yang masuk lewat ke dalam panggung sudah tentu amat mengganggu fokus penonton yang lain, ini bukan konsert ya, ini teater. Ianya bermain dengan penelitian dan pemikiran! Sila faham, dan kepada mereka yang membaca ini, jika anda lewat lagi, TOLONG jangan masuk ya!!! Sekretariat yang bertugas juga tidak memainkan peranan yang begitu bagus dalam menguruskan pergerakan keluar masuk penonton. Ini secara tidak lansung menjejasklan persembahan. Adanya sebuah grand piano di atas pentas walaupun disorok sedikit amat menyakitkan mata saya, sepatutnya jika ada pertandingan teater di situ pihak penganjur pelru memikirkan cara untuk mengalihkannya. Ia mengganggu pelakon dan penonton. Come on...

Sekali lagi suka saya nyatakan disini bahawa saya tetap BERBANGGA apabila melihat pelajar-pelajar yang tidak mempelajari bidang teater secara formal tetapi melibatkan diri dengannya beraksi di atas pentas. Kalau lah ada sesiapa yang terlibat dengan pementasan ini terbaca review ini, harap tidak ambil hati ya... Review ini ditulis bukan untuk menghentam tetapi saya juga ingin berkongsi pengetahuan, pemikiran dan mahu mempelajari untuk menjadi seorang pengkritik.

Jom sama-sama kita saksikan persembahan Penghuni Neraka dari Kolej Kediaman Ke-2 esok!!! SEMOGA BERJAYA!!!


No comments:

Post a Comment