Thursday, February 27, 2014

My First Time: Penulis yang Jarang Menulis

Aku suka menulis, mungkin disebabkan aku suka membaca. Salah satu cita-cita aku ialah menjadi penulis. Sebab itulah, setiap kali kelas penulisan (bahasa Melayu atau Inggeris) aku sangat teruja. Dari sekolah sampailah masuk UM ni, aku masih lagi belajar bidang penulisan. Di Jabatan Pengajian Media (aku ambil program Pengajian Media), kertas atau kursus penulisan memang aku tak "miss" nak ambil.

Sepanjang perjalanan nak "develop" kemahiran menulis ni, aku pernah juga menulis beberapa puisi, cerpen, skrip drama pentas, skrip filem pendek, sejak Tahun 6. Blog? Aku dah lama berhasrat nak menulis blog. Sejak Tingkatan 3 atau 4 lagi dah tersemai hajat tu. Tapi sampai saat ini, inilah dia entry pertama aku dalam sebuah blog! Tahniah untuk aku. :')

Hasrat nak buat blog dulu tak kesampaian sebab selalu ditangguh-tangguhkan. Kadang-kadang susah sebenarnya nak cari idea untuk menulis ni. Dan aku pula jenis yang suka menulis karya (kurang sikit keinginan nak mencorat-coret isu semasa atau pandangan peribadi), jadi aku lebih senang untuk tak "publish"-kan karya aku. Gituuuu...

Oleh itu, apabila pengurus UMalaya Radio, suruh kita orang, deejay dan management team tulis rencana di blog setiap minggu sebagai tugas wajib kami, jujurnya aku macam blank sikit, sebab tak tahu nak menulis pasal apa. Tapi pada masa sama, aku anggap ini sebagai satu cabaran dan pengalaman baharu. Apalah salahnya kita mencuba, bukan?

(Gambar sekadar hiasan daripada google.)

Berbalik kepada minat aku dalam penulisan. Aku ni sebenarnya tak aktif sangat menulis. Jadi karya aku sebenarnya, taklah banyak mana. Sepanjang lebih 10 tahun ni, adalah dalam 20-30 karya pelbagai genre. Aku senang menulis apabila ada masa lapang. Tapi apabila ada masa lapang, aku selalunya malas dan idea itu agak kering! Tapi walau macam mana pun, untuk menjadi seorang penulis yang baik, aku percaya, seseorang itu kena banyak menulis sebagai latihan untuk memantapkan skil kepengarangannya.

Bagaimana aku boleh terjebak dalam tulis-menulis? Aku rasa ini mungkin disebabkan minat membaca kot. Segala bermula sejak kecil apabila mama dedahkan aku dengan bahan bacaan. Aku masih ingat dia pernah bacakan aku buku tentang kisah hidup Nabi Muhammad SAW dan beberapa buku lain. Dulu mama juga selalu membeli majalah (Mingguan Wanita kalau tak silap). Jadi, bahan bacaan memang sentiasa ada di rumah aku masa kecil dulu, dan dari situ minat membaca tumbuh. Dan pada masa sama, kat rumah nenek aku ada buku-buku sastera (puisi, cerpen, novel) kepunyaan pak cik dan mak cik aku. Buku itu semua buku sekolah dia orang--dah tak pakai sebab dah habis sekolah, jadi aku selongkar, baca, dan simpan.

Di situlah aku didedahkan dengan sastera. Haha. Sejak itu aku mula menulis tapi agak jaranglah. Alhamdulillah sampai sekarang minat membaca dan menulis itu masih ada. Dan harapan aku ialah nak menulis lebih banyak lagi lepas ni (kalau boleh nak try tulis novel pula). 

Baiklah. Sekian saja tulisan pertama aku di blog. Dan dengan ini aku umumkan secara rasminya, sejarah aku sebagai blogger bermula!

Wassalam.

No comments:

Post a Comment